Tips bayi bijak

image

Dr Mohd Fadzilah Kamsah:
“Semua anak dilahirkan pintar tetapi yang memberi impak ialah cara kita merangsang mereka. Ibu bapa mesti mempunyai misi jelas iaitu menanam tekad membentuk masa depan anak”

Persoalannya, apakah ada sebarang petua mendapatkan anak pintar ini? Pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, berkata ini terletak kepada usaha ibu bapa mencari dan memperbaiki kelemahan diri terlebih dulu selain mengamalkan doa dan ajaran berlandaskan al-Quran dan Sunnah.

“Doa adalah senjata umat Islam dan sebaik kandungan mencecah empat bulan, ibu digalakkan bacaan surah al-Fatihah, ayat Kursi dan surah al-Inshirah. Bapa juga perlu mengambil tanggungjawab membaca surah berkenaan dan dihembuskan ke perut isteri.

“Surah Fatihah adalah ibu al-Quran, ayat Kursi bertujuan menghalau gangguan syaitan manakala surat al-Inshirah untuk melapangkan hati dan fikiran. Apabila hati terang dan lapang, anak mudah menerima
Pelajaran. Ibu juga digalakkan membaca surah berkenaan ketika menyusukan anak dan dihembuskan di kepala. Ia boleh diteruskan sehingga anak cukup umur,” katanya.

Katanya, satu perkara perlu diingati oleh semua ibu bapa iaitu semua anak dilahirkan pintar cuma cara merangsang yang membezakan impaknya. Ini wujud dalam bentuk pakej iaitu mesti membetulkan hati, otak, makanan, persekitaran dan didikan.

Beliau menegur sikap kebanyakan ibu bapa yang tidak mempunyai misi jelas dalam usaha memulakan keluarga.

“Semua anak dilahirkan pintar tetapi yang memberi impak ialah cara kita merangsang mereka. Bagi tujuan itu, ibu bapa mesti mempunyai misi jelas iaitu menanam tekad membentuk masa depan anak sebagai doktor misalnya. Ibu dan bapa perlulah memupuk minat anak menjadi doktor dengan membaca buku berkaitan perubatan sejak hamil.

“Wanita Yahudi misalnya, mendidik anak sejak dalam kandungan. Sebaik hamil, mereka akan membuat latihan matematik, mendengar muzik dan bermain muzik untuk merangsang perkembangan anak. Ia terbukti berkesan dan jangan hairan jika anak-anak Yahudi dilahirkan bijak. Kita juga boleh berbuat demikian. Malah sebagai orang Islam kita mempunyai
1,001 cara untuk membentuk anak menjadi pintar dan soleh pada masa sama,” katanya.

Dr Mohd Fadzilah Kamsah berkata, dia sendiri pernah bertemu dengan seorang wanita yang tidak pernah lalai membaca sehingga satu juzuk al-Quran setiap hari sepanjang hamil.

“Jika dia keletihan, suaminya akan menyambung membaca dan pahala dihadiahkan kepada bayi dalam kandungan. Anak itu dilahirkan dan membesar menjadi seorang lelaki yang bijak, pintar dan tinggi akhlaknya. Ini bukti betapa ayat Quran dan doa cukup berkesan dalam usaha membentuk anak pintar. Jika tidak berkesempatan mendidik anak dari dalam perut, belum terlambat untuk berbuat demikian walaupun mereka sudah menjejak alam persekolahan,” katanya.

Malah, baginya, antara saat paling mustajab mendidik anak ialah ‘hypnagogic moment’ iaitu masa antara anak berada dalam keadaan antara sedar dan tidak ketika hendak tidur.

“Ketika itu, mereka seolah-olah terpukau dan apa saja yang disebutkan ketika itu akan meresap masuk ke dalam hati. Rebut peluang untuk membisikkan kata-kata nasihat, pujian dan pesanan ketika mereka dalam keadaan itu dan Insya-Allah anak anak akan menurut apa yang dikatakan.

“Waktu lain yang turut memberi impak besar kepada usaha ibu bapa memberi didikan ialah sebelum anak-anak tidur, sedang tidur dan baru bangun tidur. Ambil
masa seminit, dua untuk membacakan doa sambil mengusap kepala mereka selain memberikan nasihat,” katanya.

Beliau turut menegur tindakan ibu bapa yang selalu terlanjur mengeluarkan perkataan negatif ketika marah.

“Kata-kata itu satu doa. Anak boleh dimarah dan kena dimarah tetapi biarlah marah itu berunsurkan positif. Jangan sesekali keluarkan perkataan degil, keras kepala kepada anak. Sebaliknya jika mereka melakukan kesilapan, katakan kepada mereka: “Kamu anak baik. Kamu anak bijak. Mengapa lakukan perkara itu,”
katanya.

image

INFO: Tip untuk ibu bapa
Sebaik kandungan mencecah empat bulan, ibu digalakkan baca surah al-Fatihah, ayat Kursi dan surah al-Inshirah. Surah Fatihah adalah ibu al-Quran, ayat Kursi bertujuan menghalau gangguan syaitan manakala surat al-Inshirah untuk melapangkan hati dan fikiran.

Selepas bersalin, baca surah berkenaan ketika menyusukan anak dan dihembuskan di kepala. Ia boleh diteruskan sehingga anak cukup umur. Waktu ketika anak antara sedar dan tidak. Rebut peluang bisikkan kata-kata nasihat, pujian dan pesanan. Ambil masa seminit, dua untuk membacakan doa sambil mengusap kepala mereka selain memberikan nasihat. Doakan kejayaan anak, rakan anak mereka, anak rakan dan anak jiran.

Ini memang masuk akal!! Sebabnya kita doakan rakan2 anak kita, anak2 rakan kita, anak2 jiran kita bermakna anak kita membesar dan berkawan di kalangan mereka yang bijak dan baik2. Tumbesaran anak di kalangan mereka yang positif dan berjaya menjadikan anak kita juga Positif dan Berjaya! Hebatkan kuasa doa? Jadi, teruskan berdoa yang baik2 untuk mereka :D

FAKTA: Rahsia pemakanan ilmuwan Islam

image

Madu – Madu adalah makanan yang sangat berkhasiat. Al-Quran mengiktiraf ia ‘shifa’ iaitu penyembuh penyakit. Madu didapati berkesan untuk merawati penyakit dan boleh menghindarkan kepenatan kerja otak seperti berfikir, membaca, merancang dan bermesyuarat. Ia perlu diambil dua sudu teh (gunakan sudu plastik) pada waktu pagi dan malam.

image

Kismis – Mengandungi zat besi yang amat diperlukan untuk membina darah bagi memastikan bekalan oksigen yang mencukupi untuk disalurkan ke otak. Adab memakannya ialah dengan mengadap Kiblat, membaca Bismillah dan selawat tiga kali diikuti doa penerang hati. Ia perlu dimakan seperti memakan gula- gula kerana dikatakan tidak berkesan jika dikunyah. Perlu diambil satu persatu sebanyak 21 biji setiap hari.

image

Susu segar – Susu berguna untuk kesihatan otak, mempertajamkan ingatan, membekalkan tenaga mental dan fizikal.  Susu mengandungi tiga unsur semula jadi iaitu keju, lemak dan air yang amat diperlukan untuk pertumbuhan badan dan otak. Susu yang terbaik untuk ketajaman minda ialah susu kambing, biri– biri dan lembu yang segar. Ia diminum segelas pada sebelah pagi dan malam.

image

Telur – Bermanfaat untuk menambah kekuatan otak, badan dan menjaga kesihatan keseluruhannya. Ahli–ahli kesihatan mengakui ia adalah makanan yang lengkap dan berkhasiat. Telur yang terbaik ialah telur ayam kampung dan yang masih baru.

image

Halia – Ia sangat mujarab untuk menghindar masalah lupa. Ia boleh dimakan mentah atau dibuat halwa. Halwa ialah halia yang dijadikan jeruk fan dimakan sedikit saja pada waktu pagi.

image

Buah Delima – Mujarab untuk penerang hati seperti sabda Nabi Muhammad SAW: “Sesiapa yang memakan buah delima keseluruhannya, sesungguhnya Allah menerangkan hatinya selama 40 hari.”